Identiti empat lelaki warganegara Korea Utara itu diperoleh hasil risikan Cawangan Khas Bukit Aman yang dilakukan selepas menerima permohonan bantuan oleh Pegawai Penyiasat Kanan kes itu, Asisten Superintenden, Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz.

Menurut saksi pendakwaan kesembilan itu, maklumat risikan tersebut dibuat berdasarkan salinan imej dan gambar kesemua lelaki terbabit yang diperoleh melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kulala Lumpur 2 (KLIA2).

“Hasil risikan mendapati nama sebenar lelaki yang dikenali dengan nama Mr. Chang ialah Hong Song Hac, warga Korea Utara berusia 34 tahun dan memasuki negara ini pada 31 Januari lalu. Mr. Y pula ialah Ri Ji Hyon, warganegara Korea Utara, berusia 33 tahun dan memasuki Malaysia pada 4 Februari lalu,” katanya.

Nama sebenar bagi suspek yang dikenali sebagai Hanamori pula ialah Ri Jae Nam, 57, memasuki negara ini pada 1 Februari lalu manakala identiti sebenar suspek bernama James ialah O Jong Gil, 55, dan dikesan memasuki Malaysia pada 7 Februari lalu.

Saksi itu berkata demikian sewaktu pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad pada perbicaraan warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat suspek tersebut membunuh Jong-nam atau turut dikenali sebagai Kim Chol, 45, di Balai Berlepas, KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wan Azirul Nizam memberitahu, terdapat dua individu iaitu wakil Kedutaan Korea Utara dan pengurus syarikat penerbangan Air Koryo dikesan membantu keempat-empat suspek tersebut dalam urusan pembe­lian tiket.

Tambahnya, berdasarkan rakaman CCTV menunjukkan tiga suspek, Mr. Chang, Mr. Y dan Hanamori berjumpa dengan wakil kedutaan dan pengurus syarikat penerbangan itu pada jam 10.30 pagi, 13 Februari lalu sebelum dibawa ke kaunter tiket. Mereka bertiga kemudian dikesan meninggalkan negara menuju ke Jakarta, Indonesia pada pukul 12.30 tengah hari.

“James pula dilihat bersama pengurus syarikat penerbangan itu sekitar pukul 2.38 petang sebelum meninggalkan negara. Destinasi James saya tidak ingat,” kata saksi itu.

Ketika merakam percakapan wa­kil kedutaan dan pengurus syarikat penerbangan itu, Wan Azirul Nizam mem­be­ritahu, kedua-dua lelaki terba­bit menje­­­laskan mereka berada di Lapang­an Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah untuk membantu warga negara Korea Utara menaiki pesawat untuk ke luar negara.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.