Siti ‘Aishah Salehhuddin, 34, melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Jalan Bukit Bintang berhampiran Plaza Low Yat di sini, kira-kira pukul 12 tengah malam, 19 September tahun lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, ibu tunggal dua anak itu didakwa memandu kereta jenis Suzuki Swift dengan nombor pendaftaran WRY 891 yang telah didaftarkan pada kenderaan lain dan nombor enjin kereta tersebut didapati tidak didaftarkan dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dia didakwa mengikut Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. Wanita itu turut didakwa mengikut Seksyen 7(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000.

Bagi kesalahan pertama, Majistret Farah Adlini Mohd. Din menjatuhkan hukuman denda RM5,000 manakala kesalahan kedua, dia didenda RM2,000. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju kurung bunga biru merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai anak yang bersekolah dan hanya tinggal bersama ibu malahan tidak mempunyai pendapatan tetap kerana dia kini tidak bekerja.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Mengikut fakta kes, anggota polis yang membuat rondaan di sekitar Bukit Bintang telah menahan kereta yang dipandu oleh Siti ‘Aishah bersama seorang penumpang wanita di sebelahnya dan didapati nombor pendaftaran WRY 891 yang dipamerkan di depan dan belakang kereta tiada rekod dalam sistem JPJ.

Pemeriksaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan tersebut iaitu WA 7306 C dan tarikh tamat tempoh tidak dapat dikenal pasti kerana telah kabur serta semakan melalui sistem kompol Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada pemandu kereta itu didapati dia adalah orang yang dikehendaki. - UTUSAN ONLINE