Umi Morny Mokhtar, 32, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis beralamat nombor 14 Lorong Tas Ria 19, Taman Tas Ria di sini di antara pukul 12.01 tengah malam, 4 Julai 2017 dan pukul 11.59 malam, 7 Julai tahun sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menipu Wan Norfazila Wan Zainal Adzwan, 44, untuk mendorong mangsa menyerahkan wang RM39,469.25 kepadanya bagi urusan pelaburan emas yang tidak wujud.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh namun peguam Mohamad Hamizey Mohd. Taib yang mewakili Umi Morny memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM4,500 berikutan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan menanggung seorang anak berusia empat tahun.

Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan kes.