Tertuduh, Rahayu Hassan, 24, dan Zulkifli Che Othman, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Rahayu didakwa atas dua pertu­duh­an dengan pertuduhan pertama, dia sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga mangsa namun telah mengabaikannya sehingga kanak-kanak itu me­ngalami kecede­raan fizikal dan emosi.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak me­lebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, suri rumah itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa yang dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Zulkifli pula didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga mang­sa namun telah mengabaikannya sehingga kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi. Dia didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001.

Pasangan suami isteri terbabit didakwa melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan antara Januari 2015 hingga Mei 2015 di Kampung Bagus, Rantau Panjang.

Ketua Unit Pendakwaan negeri, Julia Ibrahim yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam bela kedua-dua tertuduh, Mohd. Ridzuan Muhamad memohon agar jaminan tersebut dikurangkan kepada RM20,000.

Permohonan itu kemudiannya dibenarkan Hakim Dazuki yang menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan berserta seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh juga diarah untuk melaporkan diri setiap awal bulan di Balai Polis Rantau Panjang.

Difahamkan, hanya tertuduh lelaki yang membayar wang jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan 16 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kejadian dera membabitkan Yaya terbongkar selepas ibu kan­dungnya yang mengambil alih hak penjagaan mendapati badan kanak-kanak itu dipenuhi parut dan kesan lebam, selain keadaan fizikalnya yang lemah.

Pemeriksaan lanjut mendapati Yaya mengalami kecacatan kekal akibat patah 13 tulang di seluruh bahagian badan yang sembuh sendiri tanpa menerima rawatan sempurna dalam tempoh tiga hingga enam bulan.