Zaiton Abdul Rahman, 56, berkata, wang pinjaman tersebut diberikan kepada Adam Rosly pada Oktober 2016 manakala perjanjian pinjaman itu ditandatangani pada Februari tahun lalu.

Saksi pembelaan ketiga itu berkata, perjanjian tersebut ditandatangani selepas 10 Februari tahun lalu iaitu selepas rakaman percakapan kali pertama terhadap Adam Rosly diambil oleh pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setuju masa beri pinjaman wang RM100,000 (saya) tidak ada tanda tangan apa-apa dokumen,” katanya ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib dalam perbicaraan hari kedua peringkat bela diri terhadap Adam Rosly.

Adam Rosly yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Sulaiman Ismail dibi­carakan selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi pernya­taan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya, antara pukul 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta antara pukul 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.

Pertuduhan memberi pernya­taan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pence­gahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 manakala pertuduhan mengemukakan dokumen pal­su mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Sulaiman, Zaiton mengaku memberi pinjaman RM100,000 kepada menantunya itu secara tunai dengan disaksikan oleh isteri Adam Rosly serta suaminya.

Wanita itu juga mengakui Adam Rosly turut meminjam wang daripada nenek kandung, Masiah Yusof sebanyak RM80,000 dan wang itu diserahkan kepada tertuduh pada Oktober 2016.

Selepas mendengar keterangan daripada saksi berkenaan, pihak pembelaan yang turut memanggil nenek angkat tertuduh, Isah Hassan, 81, kemudian menutup kes peringkat pembelaan.

Hakim Allaudeen Ismail menetapkan 18 April ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis. - UTUSAN ONLINE