Muhammad Rizal, 41, dan beberapa ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah seawal pukul 8 pagi dilihat memberi kata-kata perangsang kepada isterinya, Asmani Mat, 31, sebelum wanita itu didakwa dan turut berjumpa dengan tertuduh selepas pendakwaan selesai.

Asmani yang berbaju lokap dan bertudung jingga juga kelihatan tenang serta me­ngangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ti Pei Si.

Namun, tiada penga­kuan direkodkan daripa­da wanita berbadan kurus itu.

Mengikut pertuduhan, Asmani yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh anak bongsunya, Muhamad Nur Rashdan di rumah Nombor 96, Felda Jengka 13, Bandar Pusat Jengka, Maran antara pukul 8.30 malam dan 9 malam, 17 Jun lalu.

Pertuduhan terhadap­nya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Ra­ya, Siti Hajar Mustafa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes akan disebut semula di Mahkamah Majistret Maran pada 20 Julai ini serta tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Siti Hajar supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Permai, Johor Bharu untuk pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Siti Hajar berkata, Asma­ni menunjukkan simptom masalah psikiatri serta tidak fokus sejak dibawa menjalani prosiding pertuduhan.

“Pihak pendakwaan syak tertuduh mengalami masalah mental dan perlu melalui pemeriksaan. Selain itu, pihak pendakwaan juga memohon untuk mendapatkan laporan bedah siasat dan laporan ki­mia,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik meninggal dunia di tempat kejadian setelah lehernya dikelar menggunakan senjata tajam.