Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian terhadap Noorfatiehah Ahmad Rokmar, 30, selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh gagal me­nimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Azman dalam keputusannya berkata, tertuduh dalam keterangannya mendakwa dia gagal melihat kesan kecederaan lama dan baharu di tubuh mang­sa dengan memberi alasan teman lelakinya yang memandikan anaknya itu.

Namun, beliau berkata, kete­rangan saksi pendakwaan kela­pan yang merupakan seorang doktor bahawa mang­sa tidak sedarkan diri sejak pukul 2 petang dan hanya dibawa ke hospital kira-kira pukul 11 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri de­ngan luka di mulut dan bengkak kehitaman di mata menunjukkan pendarahan dalaman.

“Pakar bedah siasat juga mengesahkan lebih 100 kecede­raan lama dan baharu di tubuh si mati dan ada yang bertindan serta kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Tertuduh sebagai seorang ibu kandung sanggup membiarkan anaknya menderita dengan dahsyat dan melampaui sifat kemanusiaan,” katanya yang meme­rintahkan hukuman itu berkuat kuasa mulai 23 Julai tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang yang masih bebas didakwa bersubahat menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki yang berusia lima tahun itu di sebuah rumah di Taman Desa, Brickfields di sini pada pukul 11 malam, antara 16 Jun 2017 dan 19 Jun tahun sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Azeezi Nordin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 304(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Terdahulu, peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya bukanlah pelaku utama dalam kes ini selain dia ingin pulang ke pangkuan dua lagi anaknya yang berusia tiga dan satu tahun.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa telah terlalu lama berada dalam keadaan kesakitan dan hukuman berat harus diberikan kepada tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya.

Sebanyak sembilan saksi pen­dakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.