Ibu mangsa berusia 30 tahun dan Dina Pengiran, 45, yang merupakan pemilik sebuah karaoke di sini ma­sing-masing didakwa mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, ke­dua-dua wanita itu didakwa terlibat menyalahgunakan seorang remaja di bawah umur untuk melakukan ke­giatan pelacuran di sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 3 pagi, April lalu.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dalam prosiding yang dijalankan di Pejabat Daerah Lawas di sini.

Majistret Keli Mareng kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin yang berpendapatan tetap serta memerintahkan mereka tidak menghubungi dan mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Asisten Superintenden Radwan Nawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Willie Liau.

Dalam pada itu, mah­kamah turut membenarkan dua lelaki berusia 23 dan 29 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan kes sama.