Mohd. Syafiq Abdullah, 22, memberi reaksi sedemikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah bertanyakan perbuatan salah seorang rakan mereka yang mengelap peluh mangsa dan menyambung memukulnya seperti suasana perlawanan ‘boxing’.

“Ya, lebih kurang macam itulah,” kata bekas penuntut jurusan Sumber Manusia itu yang menyaksikan kejadian Zulfarhan Osman dipukul.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-25 itu memberitahu, Zulfarhan Osman kelihatan berpeluh-peluh akibat dipukul oleh rakan-rakan universitinya selepas dituduh mencuri seunit komputer riba pada malam 21 Mei tahun lalu.

“Ya, masa tu arwah tengah berpeluh sebab kena pukul,” katanya menjawab soalan Othman ketika sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan hari ke-19 berhubung kematian mangsa.

Dalam kes itu, enam penuntut yang kesemuanya berusia 22 tahun didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ariff Azami Hussein, saksi itu menyatakan tidak semua rakan yang hadir di bilik pada malam 21 dan 22 Mei tahun lalu itu adalah untuk memukul Zulfarhan Osman.

Sebaliknya, menurut Mohd. Syafiq, ada yang cuba menghalang dan memarahi individu-individu yang memukul Zulfarhan Osman, bagaimanapun dia tidak dapat mengingati bilangan mereka yang berbuat demikian.

“Saya tak pasti berapa ramai tapi ada yang cuba halang dan beberapa orang marah dekat mereka yang pukul Zulfarhan,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 23 Januari tahun depan.