Keputusan itu dibuat setelah Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menolak rayuan akhir Rabidin, 48, untuk mengetepikan hukuman tersebut serta sabitan dan hukuman penjara dan sebatan atas empat pertuduhan lain termasuk dua pertuduhan merogol isteri mangsa bunuh itu.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan demikian sebulat suara selepas mendapati sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah betul menerusi bukti-bukti yang diberikan semasa perbicaraan.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman gantung sampai mati atas sabitan bunuh serta hukuman penjara dan sebatan bagi pertuduhan-pertuduhan lain yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang pada 3 Disember 2015.

Ketika di Mahkamah Tinggi, selain hukuman mati, Rabidin dihukum penjara 12 tahun dan sebatan dua kali atas pertuduhan mengacukan senjata api terhadap si mati, penjara lapan tahun dan sebatan dua kali terhadap pertuduhan merompak dan hukuman penjara 12 tahun dan sebatan lapan kali bagi dua pertuduhan merogol isteri si mati.

Rabidin didakwa membunuh lelaki berusia 31 tahun itu di sebuah di kawasan Perumahan Jabatan Perhutanan, Jalan Tras, Bentong, Pahang antara pukul 3.50 dan 4.30 pagi, 3 November 2012. Empat pertuduhan lain didakwa berlaku pada masa, tarikh dan tempat yang sama. - UTUSAN ONLINE