Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki sebulat suara membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Anas Bashari agar hukuman penjara tiga tahun yang diputuskan sebelum ini terhadap Mohd. Hussein Mohd. Kassim, 30, ditambah.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil me­ngarahkan lelaki tersebut menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 2 Julai 2015.

Hakim Mohtarudin berpendapat rayuan pendakwa raya mempunyai merit selepas berpuas hati hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah pada 28 September tahun lalu, tidak mencukupi.

Sebelum itu, Anas berhujah agar hukuman tersebut dinaikkan kerana tempoh hukuman asal itu rendah dan tidak sepadan dengan ke­salahan yang dilakukan oleh pelarian Myanmar tersebut.

Hujah pendakwa raya, ha­kim berkenaan hanya memberi pertimbangan terhadap rayuan peribadi responden tanpa mengimbangi kesalahan yang dilakukannya.

Fakta kes pula menunjukkan imigran yang dikurung di dalam bilik sempit, ditemukan oleh pihak polis dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

Anas berhujah, Mohd. Hussein berperanan aktif menjaga, mengawal dan memberi makanan selain pernah mengarahkan mereka meng­hubungi keluarga di negara asal agar membayar wang kepada ejen bagi membolehkan mereka dibebaskan.

Bagaimanapun, peguam Rafidi Mohamad memohon hukuman itu dikekalkan kerana anak guamnya hanya berperanan melindungi imigran di rumah tersebut.

Hujahnya, tiada bukti bahawa Mohd. Hussein mengaut keuntungan dengan cara meminta wang daripada imigran berkenaan.

Bapa kepada lima orang anak itu dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah melindungi imigran yang kesemuanya lelaki berumur di antara 18 dan 54 tahun yang terdiri daripada 12 rakyat Bangladesh manakala baki lapan lagi warganegara Myanmar.

Mohd. Hussein melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 4.44 pagi, 2 Julai 2015 di Lot 84, Jalan Titi Idris, Kampung Alor Sentap, Mukim Tualang, Pokok Sena, Alor Setar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) (ATIPSOM) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan.