Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan demikian selepas menolak rayuan Shamsinar Abdul Halim, 40, dan Sumustapha Suradi, 42.


Kuorum berkenaan berpendapat,  wujud keterangan yang mencukupi bagi membuktikan tuduhan yang dikenakan terhadap perayu-perayu.


Panel tersebut juga berpuas hati bahawa keterangan dua saksi yang dilindungi yang merupakan rakan sejenayah perayu, disokong oleh keterangan bebas dan menguatkan kes pendakwaan.


Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 27 Disember 2016 yang mensabit dan menghukum kedua-duanya terhadap kesalahan membunuh mangsa.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Ahmad Raffli pada pukul 1.50 petang, 10 November 2013 di No.7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota. 


Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman  bagaimanapun melepas dan membebaskan isteri ketiga Harun Mat Saad, Azida Mohd. Zol, 34; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 41, dan Jefferi Safar, 40, kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiganya berkonspirasi melakukan perbuatan itu.


Harun yang juga ketua kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ meninggal dunia pada 16 Ogos 2016. Dia kemudian dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkonspirasi membunuh Ahmad Raffli selepas peguamnya, Amer Hamzah Arshad membuat permohonan menggugurkan pertuduhan terhadapnya. - UTUSAN ONLINE.