Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Shahril Jaafar, 36, yang juga merupakan anak orang kenamaan. 

Kuorum berkenaan antara lain berpuas hati bahawa dapatan fakta yang diperoleh oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah menjurus kepada satu kesimpulan iaitu perayu bertanggungjawab membunuh mangsa.


Shahril disabitkan membunuh Chee Gaip Yap, 25, yang juga graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 14 Januari 2006 antara pukul 5.30 petang dan 3.05 pagi,15 Januari 2006 di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.


Mayat Gaip Yap ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.  Sebelum itu, mendiang keluar berjoging bersama adik perempuannya yang ketika itu berusia 24 tahun.


Kes itu mendapat perhatian umum selepas media melaporkan bahawa Shahril melarikan diri ke Perth pada 2006 sehingga mendapat taraf pemastautin tetap Australia.


Dia mengambil kesempatan melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui dan diberkas semula oleh polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Perth pada 17 Januari 2012.


Pada 25 Jun 2013,  Shahril terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada tuduhan itu.  Bagaimanapun, pada 13 Oktober 2014 Mahkamah Rayuan memerintahkan perayu membela diri selepas membenarkan rayuan pendakwa raya. - UTUSAN ONLINE