Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali berkata, walaupun menerima tohmahan dengan pelbagai tafsiran dan pandangan negatif, ia tidak sekali-kali melemahkan semangat kerajaan negeri untuk terus menegakkan undang-undang Islam sebagaimana dipe­rintahkan Allah.

YAHAYA ALI
YAHAYA ALI 

“Kita tak boleh ce­pat lemah sema­ngat, kita akan terus bergerak ke hadapan walaupun cabaran itu kita rasa tidak munasabah kerana datangnya daripada umat Islam sendiri, iaitu masyarakat yang tidak faham serta jahil tentang Islam. Mereka ini terdiri dari golongan terpengaruh dengan kumpulan G25 yang mentafsir Islam dengan akal semata-mata,” katanya.

Yahaya berkata demikian ketika berucap merasmikan Diskusi Fatwa: Pelaksanaan Hukum Sebat Menurut Islam di Dewan Syarahan Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini, yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti nege­ri dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Marang dan Pejabat Daerah Marang.

Hadir sama Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda yang turut membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pelaksanaan Hukuman Sebat Berdasarkan Versi Fiqh Islam’.

Sesi soal jawab dan diskusi Hukum sebat pro dan kontra pada pandangan Islam dan sivil turut diadakan yang dijayakan oleh pensyarah Fakulti Undang-undang dan Hubu­ngan Antarabangsa Unisza, Dr. Mohd. Badrol Awang dan Pengarah Unit Undang-Undang Jabatan Penjara, Penolong Kanan Komisioner Abdul Kadir Jalani Ismail manakala Timbalan Mufti negeri, Ahadi Othman sebagai moderator.

Yahaya seterusnya berkata, program itu yang melibatkan diskusi dan perbincangan adalah sangat penting dan berfaedah memandangkan pelbagai isu berkaitan hukuman sebat bagi pesalah syariah telah disalah erti selain mengundang pelbagai persepsi negatif kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk bergabung tenaga bagi mele­takkan masa depan agama Islam pada landasan sewajarnya dengan mengangkat kedudukan mahkamah syariah lebih tinggi berbanding mahkamah sivil.