Hakim Mohd. Sabri Ismail memutuskan demikian terhadap Wan Ji, 35, yang juga pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, setelah selesai mendengar kesemua keterangan daripada saksi pendakwaan serta saksi pembelaan.

Bagaimanapun, Mohd. Sabri membenarkan permohonan peguam, Mohd. Razlan Jalaludin yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu berserta jaminan sebanyak RM5,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. 

Pada 10 September 2014, Wan Ji yang merupakan Ketua Biro Agama PKR mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini pada pukul 10 pagi, 5 November 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. 

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Timbalan Pendakwa Raya, Naliatul Huzaimi Ab. Rasip berkata, tertuduh didakwa menerbitkan enam penerbitan menghasut di Facebook yang menghina Sultan Selangor.

“Tertuduh membuat penerbitan itu dalam Facebook. Penerbitan dalam Facebook boleh dicapai di serata dunia.

“Penggunaan ayat dalam penerbitan itu adalah kasar bukan saja terhadap Sultan Selangor malah kepada mana-mana individu. Saya mohon mahkamah ini dalam menjatuhkan hukuman untuk mempertimbangkan setiap perkataan digunakan tertuduh dalam penerbitan menghasut itu terhadap Sultan Selangor,” katanya.

Tambah Naliatul, undang-undang membabitkan berita palsu turut dibentangkan di Parlimen sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam membendung berita yang tidak benar.

Mohd. Radzlan pula memaklumkan kepada mahkamah, tertuduh menanggung lima orang anak berusia antara satu bulan hingga 13 tahun, manakala isterinya tidak bekerja serta menghidap penyakit kencing manis.