Mohd. Nasaruddin Saron, 41, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook Nasaruddin Saron secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, kira-kira pukul 7.25 pagi, 26 Oktober 2016.

Pautan itu kemudiannya didakwa telah dibaca di No. A-1110, tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini, kira-kira pukul 6.20 petang, 27 Oktober tahun lalu.

Anak peneroka dari Bukit Easter, Kota Tinggi, Johor, itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Hakim Zaman Mohd. Noor memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya dia gagal membayar denda tersebut.

Mohd. Nasaruddin yang berambut panjang, memakai baju T warna kelabu dan berseluar jeans itu membayar denda tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mohd. Sophian Zakaria memohon hukuman penjara dan denda terhadap Mohd. Nasaruddin kerana kesalahan ini semakin berleluasa di negara ini dan kata-kata jelik tersebut tidak wajar dikeluarkan.

“OKS (Orang Kena Saman) telah mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap pe­­mimpin negara walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik. Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kata-kata penghinaan itu,” katanya.