Majistret Siti Hanum Md. Sah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Tham Yut Mooi, 46, selepas mendapati pembelaannya gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Siti Hanum turut memerintahkan Yut Mooi yang diwakili peguam Chiang Woei Chien dipenjara sembilan bulan lagi jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Yut Mooi ditangguhkan sehingga rayuan kes tersebut selesai dengan­ jaminan RM5,000 berserta seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Yut Mooi didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan itu yang didengari oleh tiga individu iaitu Abdul Rahim Mat Diah, 53, Mohd. Yunus Harun, 72, dan Mohd. Halim Buyong, 43, dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 5.30 petang, 4 Mei tahun lalu di ruang solat Masjid Ubaidah, Ulu Kinta dekat sini.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab.Wahab mengemukakan tuduhan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit ke­salahan.

Terdahulu, Fadhli memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukannya amat serius serta melibatkan kepentingan awam.

Jelasnya, negara ini mempunyai rakyat berbilang bangsa dan agama yang perlu dihormati dan kesalahan yang dilakukan tertuduh melibatkan isu keagamaan.

“Sejak perbicaraan dijalankan bermula bulan Mei tahun lalu, tertuduh tidak mengambil peluang untuk mengaku bersalah. Ini bermakna tertuduh masih tidak mengakui kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Woei Chien pula memohon agar mahkamah hanya mengenakan hukuman yang ringan berikutan anak guamnya kini tidak bekerja selain perlu menjaga dua orang anak dan ibu bapanya yang uzur.