Zamri Abdul Razak, 52, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan aplikasi Facebook miliknya di pautan zamri.xzone secara sedar membuat dan memulakan dua penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kedua-dua hantaran berkenaan kemudiannya dibacakan oleh seorang individu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pukul 12.45 tengah hari, 10 Mac lalu.

Semua pertuduhan itu yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md. Kamal dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Dalam prosiding tersebut, Muhamad Asyraf turut melahirkan rasa kecewa terhadap tertuduh kerana tidak memaklumkan lebih awal mengenai keputusan Zamri untuk menukar pengakuan.

“Memang menjadi hak tertuduh untuk menukar pangakuannya tetapi dia langsung tidak memaklumkan perkara itu dengan lebih awal selain lantikan peguam.

“Malah pihak pendakwaan juga telah melengkapkan fakta kes, barang kes bagi membolehkan keputusan dibuat mahkamah,” katanya di sini hari ini.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Mohd. Harris Abdullah memberitahu, beliau hanya dimaklumkan perkara itu malam tadi dan memohon maaf kepada pihak yang terlibat dalam kes ini.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak mahkamah kemudiannya menetapkan 1 April ini untuk sebutan semula kes tersebut. - UTUSAN ONLINE