Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah, 61, menegaskan pertuduhan terhadap anak guamnya itu juga tidak mempunyai kaitan dengan hutang 1MDB atau mana-mana anak syarikat pelaburan tersebut.

"Apa yang jelas dalam kes Datuk Hasanah ini, tidak langsung terlibat dalam mana-mana skandal 1MDB. Jadi ramai orang mungkin keliru.

"Jumlah AS$12 juta yang disebut dalam pertuduhan juga menjadi tanda soal sama ada wang itu wang Kerajaan Malaysia atau wang yang datang dari pihak luar negara termasuk perisikan dari negara luar," katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur  hari ini.

Malah ujar peguam itu, penggunaan wang tersebut juga adalah rahsia dan bukan satu perkara yang perlu didedahkan dalam mahkamah terbuka.

"Jadi kita kena jaga operasi yang sulit oleh agensi perisikan negara tidak boleh dimainkan dan dijadikan bola sepak dalam mahkamah ini," katanya. - UTUSAN ONLINE