Tan Sri Idrus Harun menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana beliau terlibat dalam keputusan satu panel lagi awal bulan ini berhubung rayuan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee yang mencabar perintah Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya ke luar negara.

Isu yang menjadi persoalan pokok dalam rayuan Tony Pua iaitu berkaitan kebebasan diri melibatkan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan, merupakan isu yang sama yang akan dikemukakan oleh pihak pembelaan dalam rayuan Guan Eng dan Li Koon.

Sehubungan itu, Datuk Umi Kalthum Abd. Majid yang bersidang bersama Idrus dan Datuk Abdul Rahman Sebli menangguhkan rayuan dan memutuskan agar ia didengar pada 7 Ogos ini di hadapan panel yang tidak dianggotai oleh Idrus.

Pada 30 Jun tahun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Tuduhan pertama, beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai 2014.

Tuduhan kedua, Guan Eng sebagai penjawat awam dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No. 25, Jalan Pinhorn pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No. 25, Jalan Pinhorn pada 28 Julai 2015.

Sebagai bekas pemilik banglo itu, Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan tarikh yang sama. - UTUSAN ONLINE