Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan hari ini berpendapat, panel itu bukan dalam kedudukan untuk mengarahkan Hakim Besar Malaya menasihati Seri Paduka berhubung pelantikan hakim tambahan menganggotai kuorum khas mendengar isu berkenaan.

Demikian keputusan panel tiga hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah yang bersidang bersama Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi ketika menolak permohonan Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS).

Kedua-duanya memohon agar Ahmad menasihati Yang di-Pertuan Agong melantik sembilan hakim bersara menganggotai panel khas mendengar prosiding itu bagi menentukan kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli ke jawatan masing-masing.

Permohonan itu dikemukakan selaras dengan pendirian Majlis Peguam dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 3 Ogos tahun lalu bahawa hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang masih bertugas tidak sepatutnya terlibat dalam prosiding melibatkan isu Raus dan Zulkefli yang merupakan pegawai tertinggi mereka.

Hakim Hasan ketika menyampaikan keputusan itu berkata, Perkara 131A(1) Perlembagaan Persekutuan memberi budi bicara kepada Hakim Besar Malaya untuk menasihat Seri Paduka berhubung pelantikan hakim tambahan.

Bagaimanapun, panel itu berpendapat, mahkamah bukan dalam kedudukan untuk membuat sebarang perintah bagaimana budi bicara itu harus dilaksanakan.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, George Varughese memberitahu pemberita, pihaknya menimbang menghantar satu lagi surat kepada Hakim Besar Malaya menggesa beliau melaksanakan budi bicaranya bagi membolehkan panel sembilan hakim bersara ditubuhkan untuk mendengar isu kesahan pelantikan kedua-dua hakim tertinggi itu.

Ujarnya, Majlis Peguam menghantar surat bertarikh 21 Ogos tahun lalu kepada Ahmad selaku hakim paling kanan selepas mereka berdua, manakala surat peringatan berhubung perkara itu dihantar pada 5 Februari lalu, namun tidak mendapat maklum balas.

“Keputusan hari ini memberi gambaran yang lebih jelas berhubung budi bicara Hakim Besar Malaya untuk bertindak jika Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan berada dalam kedudukan yang konflik,’’ ujarnya di luar mahkamah.

Beliau berkata, prosiding yang akan didengar pada 14 Mac ini tertakluk kepada dua senario sama ada panel bersidang akan dianggotai oleh hakim Mahkamah Persekutuan sedia ada atau hakim bersara.

Majlis Peguam memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan pada 3 Ogos dan 27 September tahun lalu.

Majlis Peguam berpendirian agar panel khas itu tidak akan dianggotai oleh Raus dan Zulkefli, hakim Mahkamah Persekutuan yang masih bertugas atau mana-mana hakim bersara yang pernah mengeluarkan kenyataan berhubung isu pelantikan mereka berdua.

Badan itu berpendapat, hakim-hakim yang masih bertugas tidak sesuai mendengar sebarang pertikaian melibatkan hakim atasan mereka kerana dikhuatiri akan memalukan badan kehakiman.