Najib memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi­nya pa­da 5 Mac 2015 dengan menamakan Tony, 44, sebagai defendan pertama dan pemilik portal Media­rakyat.net, Chan Chee Kong, 53, defendan kedua.

Kes tersebut akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Roslan Abu Bakar yang mende­ngar kes itu sebelum ini telah bertukar ke Shah Alam.

Sehubungan itu, Timbalan Pen­daftar, K. Pavani ketika pe­ngurusan kes hari ini yang diha­diri peguam Nor Emelia Iszeham mewakili Najib selaku plaintif dan peguam Joanne Chua bertindak bagi pihak defendan menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Nor Emelia ketika ditemui pemberita berkata, tarikh tersebut ditetapkan sementara me­nunggu keputusan beberapa kes di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang melibatkan persoalan sama ada penjawat awam boleh atau tidak mengemukakan saman fitnah atas kapasiti periba­di mereka.

“Pada tarikh berkenaan, peguam kedua-dua belah pihak akan memaklumkan kepada mah­kamah berhubung perkembangan kes-kes tersebut,” kata­nya.

Perdana Menteri dalam per­nyataan tuntutannya berkata, pa­da 13 November 2014, Tony se­bagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP telah mengeluarkan kenya­taan berunsur fitnah mengenai 1MDB.

Najib berkata, rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chee Kong sendiri dan atau ejennya dalam laman YouTube Media­rakyat dan laman sesawang Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah.

Beliau berkata, penerbitan per­kataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula.