Ini ekoran tindakan Hakim Datuk Wira Kamaludin Md. Said menarik diri daripada mendengar permohonan Anwar kerana beliau sebelum ini pernah mengendalikan tiga kes melibatkan bekas Ketua Pembangkang itu.

Bekas Ketua Pembangkang itu membuat permohonan tersebut dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun lalu atas alasan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik oleh Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan kononnya tidak bebas dan dipengaruhi dengan wang.

Pada 21 Jun lalu, Hakim Kamaludin memerintahkan Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin memfailkan afidavit bagi pihak kerajaan.

Afidavit tersebut bagi menjawab saman pemula tersebut dan juga permohonan penzahiran (discovery) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhammad Shafee supaya mereka mengemukakan penyata bank dalam tempoh tertentu.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam afidavitnya mendakwa, Muhammad Shafee telah menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta kira-kira 18 hari sebelum pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasannya atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. - UTUSAN ONLINE