Menurut sumber, kesemua pertuduhan itu akan dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah ama­nah sejumlah wang yang dipercayai bernilai lebih RM6 bilion.

Ujarnya, selain mereka, satu pertuduhan di bawah seksyen sama turut dikenakan terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid kerana salah guna wang kerajaan yang diperuntukkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dipercayai bernilai RM49.5 juta.

“SPRM telah memanggil Najib dan Irwan Siregar hari ini bagi melengkapkan kertas siasatan namun hanya Najib dibenarkan pulang manakala Irwan Siregar pula ditahan.

“Setakat ini, tiada sebarang rampasan dan pembekuan akaun dilakukan membabitkan kes terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan Irwan Siregar sehingga dia dibawa ke mahkamah esok.

Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataan memberitahu Najib dan Irwan Serigar akan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pukul 7.30 pagi esok untuk pertuduhan tersebut.

“Selain mereka, Hasanah juga diberikan notis untuk hadir di mahkamah sama esok,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, Najib tiba dengan menaiki kereta mewah Audi Q7 berwarna kelabu pada pukul 1.55 petang di pekarangan ibu pejabat SPRM.

Berbeza dengan bekas Perdana Menteri itu, Irwan Serigar pula tiba dengan menaiki kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam yang dipercayai dipandu oleh salah seorang ahli keluar­ganya pada pukul 3.25 petang.

Mereka dipanggil bagi melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan berkaitan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu IPIC.

Bagaimanapun, Najib dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 5 petang selepas memberi keterangan selama tiga jam manakala bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu difahamkan ditahan untuk dibawa ke mahkamah esok.