Beliau berkata, pen­dekatan itu sesuai diamalkan bagi membolehkan peguam bela dan pendakwa raya mengemukakan penghujahan berkesan dengan membentangkan butiran yang paling penting terlebih dahulu.

RICHARD MALANJUM
RICHARD MALANJUM 

Malanjum berpendapat, pe­laksanaannya boleh dijadikan arahan asalkan dipersetujui oleh Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam.

Sehubungan itu, pihak-pihak yang berhujah tidak digalakkan menyimpan isi yang paling penting di akhir penghujahan, sebaliknya perlu menarik perhatian hakim pada awal prosiding mahkamah.

“Jangan simpan butiran yang paling penting pada akhir peng­hujahan kerana jika gagal menarik perhatian hakim dalam tempoh 10 minit pertama berhujah, dikhuatiri hakim tidak akan memberi perhatian kepada keseluruhan hujah,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara turut meng­ingatkan para hakim supaya tidak memotong penghujahan yang dikemukakan ke­rana jika kalah sekalipun, pi­hak-pihak yang berbalah tetap gembira kerana diberi pe­luang berhujah.

Beliau berucap pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia empat hakim Mahkamah Persekutuan dan lima hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, 59; Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, 59; Tan Sri Idrus Harun, 63, dan Datuk P. Nallini, 59, dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Datuk Lau Bee Lan, 63; Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, 61; Datuk Yew Jen Kie, 65; Datuk Nor Bee Ariffin, 62, dan Datuk Has Zanah Mehat, 61, dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan.