Mohammad Sabri Mat Zain, 46, didakwa memiliki sebutir 'Grenade Hand Coloured Smoke Yellow MK IV Lot : 16 SME 3-03 CCC' dengan menyalahi undang-undang di Kampung Batu 7, Teluk Kandis, Salor antara pukul 7.55 pagi dan pukul 1.20 petang, 21 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Mun mengemukakan pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Pe­nalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan minimum enam kali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Sabri yang tidak diwakili peguam, didakwa memiliki dua butir peluru .38 Special G.F.L dan R.P tanpa lesen atau permit senjata pada masa, tarikh dan tempat sama.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua­nya.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sebatan enam kali terhadap pertuduhan pertama manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara dua tahun dan kedua-dua hukuman itu diperintah berjalan serentak mulai tarikh tangkap pada 21 Mac lalu.

Terdahulu, Mohammad Sabri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memaparkan bahan berkaitan de­ngan kumpulan pengganas dalam akaun Facebook miliknya atas nama ‘Pecula Naga’ di Ibu pejabat Polis (IPD) Kota Bharu pada 4 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh Majistret Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.