Perintah reman sehingga 26 Januari itu terhadap suspek berumur 40 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd. Idris. 

Ia bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana melakukan seks luar tabii.

Terdahulu, suspek yang merupakan guru sains dan warden asrama sekolah agama itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10 pagi sebelum dibawa keluar oleh anggota polis sejam kemudian. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris berkata, suspek ditahan di rumahnya di Taman Jaya di sini, semalam selepas mangsa yang juga pelajar dan penghuni asrama sekolah itu membuat laporan polis berhubung kejadian. 

"Pengadu mendakwa suspek iaitu warden di situ telah beberapa kali memanggilnya untuk berjumpa di lokasi tertentu sebelum melakukan perbuatan seksual terhadapnya antara 1 hingga 17 Januari lalu. 

"Mangsa kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada warden lain dan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE