Francisco Xavier de Aragon II, 28, menafikan dakwaan yang dibuat oleh tiga pelajarnya bahawa dia meraba semasa pelajar terbabit memakai pakaian mandi sewaktu dalam kelas renang tersebut.

Menurut laporan ABC Local 10, rayuan de Aragon gagal mempengaruhi hakim yang kemudian menjatuhkan hukuman maksimum iaitu penjara seumur hidup setelah dia didapati bersalah terhadap kesemua pertuduhan termasuk satu pertuduhan melakukan serang sentuh secara seksual terhadap seorang kanak-kanak, tiga tuduhan mencabul dan satu pertuduhan melakukan ancaman menerusi sentuhan.

Kejadian tersebut didakwa berlaku di kelas renang di Deerfield Beach Aquatics Centre pada 2015.

Ketiga-tiga mangsa hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan dan salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa ‘anggota penyelamat (de Aragon) itu telah menyentuh bahagian sulit saya’.

Namun, de Aragon menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan, berkemungkinan sentuhan itu berlaku ketika dia sedang mengajar pelajar terbabit bagaimana untuk terapung di permukaan air dan disebabkan itu mungkin mereka salah faham.

Menurutnya, dia hanya memegang pelajar perempuan itu kurang dari seminit bagi membantu mereka mengapungkan badan dan proses tersebut berlaku sangat pantas.

Timbalan Pendakwa Raya, Patyl Oflazian bagaimanapun berkata, pihaknya membantah dakwaan bahawa sentuhan itu berlaku secara tidak sengaja disebabkan teknik mengajarnya begitu.

“Saya tidak faham, dalam teknik berenang yang pernah diajarkan sebelum ini, adakah perlu tangan kamu masuk ke bahagian bawah pakaian renang kanak-kanak itu dan jari-jari kamu meramas vagina (alat sulit) kanak-kanak tersebut,” katanya kepada juri.

Menurut 7 News Miami, pihak pendakwaan turut memuji keberanian mangsa untuk tampil sendiri sebelum hukuman dijatuhkan kepada tertuduh.

“Kami sangat bangga dengan mangsa terlibat yang tampil dan sanggup menjadi saksi dalam kes bicara ini.

“Ini adalah kes membabitkan tiga gadis memberi keterangan bagi menyangkal keterangan pihak defendan. Hukuman ini bukan sahaja adil, malah satu hukuman yang setimpal dalam kes yang amat penting ini,” katanya.

De Aragon kelihatan menangis teresak-esak selepas hukuman dibacakan terhadapnya dan memberitahu dia sangat menyayangi isterinya.

Ibunya, Phoebe, yang juga guru renang percaya bahawa kanak-kanak perempuan terbabit mereka-reka cerita semata-mata untuk mengelak daripada menyertai kelas renang.

“Kami akan lawan kes ini kerana anak saya tidak bersalah dan apa yang digambarkan oleh mereka adalah tidak berlaku,” kata Phoebe.

Isteri de Aragon kelihatan berdiri selepas hukuman dibacakan terhadap suaminya.

“Tugas menyelamatkan seseorang dan mampu melatih mereka dengan betul merupakan satu kebanggaan dan kegembiraannya (de Aragon),” jelas isterinya.

Oflazian berkata, mereka mengalami delusi.

“Apabila seseorang dalam penafian, mereka akan sentiasa mendakwa bahawa mereka tidak bersalah,” katanya.

De Aragon sebelum ini menolak rundingan pengakuan bersalah yang hanya membawa hukuman penjara 25 tahun. – Dailymail.com