Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41, yang mengajar mata pelajaran Sains bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit yang merupakan seorang duda tanpa anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di sebuah sekolah dan premis di sekitar Lenggong dan Gerik antara pukul 2 pagi hingga 11 malam pada September 2017 hingga Mac lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara se­hingga 20 tahun dan sebatan serta Sek­syen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pen­jara sehingga 20 tahun dan bo­leh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Sharun Shabaath Ali.

Rohaida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM38,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 26 Jun ini untuk tarikh sebutan semula kes.

Pada 26 April lalu, tertuduh turut dihadapkan di mahkamah sama atas 17 pertuduhan melakukan kesalahan serupa terhadap pelajar lelaki berusia 15 tahun pada November 2016 hingga November 2017.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan dikenakan jaminan berjumlah RM48,000 dengan seorang penjamin.-UTUSAN ONLINE