Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, yang kini bertugas dengan jawatan sama di sebuah sekolah lain di daerah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Zabidah didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang zakat daripada Ladang Rakyat yang diterima dan sepatutnya disumbangkan kepada 100 murid sekolah berkenaan.

Tertuduh didakwa telah mengemukakan borang akuan terima palsu kepada syarikat berkenaan berkaitan peruntukan sumbangan itu walhal wang zakat berkenaan tidak disalurkan kepada pelajar miskin sekolah tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bilik mesyuarat syarikat Ladang Rakyat di Kemaman pada 13 Julai 2015.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadh­ly Mohd. Zamry dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama.

Zabidah yang berjubah dan bertudung merah diwakili peguam, Che Amir Che Musa.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Februari ini, sebutan semula kes.