Tertuduh, Zabidah Sulaiman, 58, yang kini bertugas dengan jawatan sama di sebuah sekolah lain di daerah itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.


Mengikut pertuduhan, Zabidah  dituduh dengan curangnya menyalahgunakan wang zakat yang diterima dan sepatutnya diberikan sebagai sumbangan kepada 100 murid sekolah berkenaan.


Tertuduh telah mengemukakan borang akuan terima palsu kepada syarikat berkenaan berkaitan peruntukan sumbangan itu yang mana wang zakat berkenaan sebenarnya tidak disalurkan kepada murid-murid.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Ladang Rakyat di Kemaman pada 13 Julai 2015.


Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamry mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan  (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah kanun yang sama.


Zabidah yang berjubah hitam dan bertudung merah diwakili peguam, Che Amir Che Musa.


Mahkamah bagaimanapun, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Februari depan.-UTUSAN ONLINE