Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu terhadap P. Uma Mageswari, 30, selepas mendapati Mahkamah Sesyen sebelum ini terkhilaf apabila melepaskan dan membebaskan Uma Mageswari tanpa dipanggil membela diri.

Beliau dalam keputusannya hari ini mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu dan Uma Mageswari perlu dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen Selasa depan.

Mahkamah dalam keputusannya membenarkan rayuan pihak pendakwa yang dikemukakan Ketua Unit Pendakwaan Perak, Yusaini Amer Abd. Karim terhadap keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 25 Julai tahun lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar telah melepas dan membebaskan Uma Mageswari yang diwakili peguam M. Kulasegaran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas 20 hari perbicaraan.

Mengikut pertuduhan, Uma Mageswari didakwa memiliki beberapa kertas soalan bagi subjek Sains UPSR dalam telefon bimbit, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu tempat beliau mengajar sebelum ini pada 10 September 2014. - UTUSAN ONLINE