Penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Awam universiti tersebut, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, 22, berkata, sekiranya identiti terbongkar, dia khuatir akan menerima nasib yang sama seperti mangsa.

“Saya takut identiti saya terbongkar kerana jika ini berlaku, mungkin saya akan terima nasib sama seperti arwah,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan hari ke-13 berhubung kes kematian Zulfarhan Osman di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam kes tersebut, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap kesemua mereka yang berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Ditanya sama ada tindakannya menghantar surat layang berkenaan mencukupi, Muhammad Aiman Aufa dengan pantas menjawab tidak.

“Kalau saya tahu dia akan meninggal, saya akan hantar ke hospital,” kata saksi pendakwaan ke-23 itu.

Pada perbicaraan hari ke-11, saksi itu dalam keterangannya memberitahu, dia bersama seorang lagi rakannya menulis surat tersebut pada 22 dan 23 Mei 2017 selepas melihat keadaan Zulfarhan Osman yang terbaring kesakitan.

Surat berkenaan, menurutnya, dihantar ke Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) dan diselit di bawah pintu pejabat jurulatih pada dua hari berturut-turut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 27 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE