N. THEVANATHAN

N. Thevanathan, 51, membuat pengakuan tersebut selepas ke­dua-dua pertuduhan itu selesai dibacakan kepadanya di hadapan Majistret L. Umma Devi.

Bagi pertuduhan pertama, Thevanathan didakwa menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada pengurusan USM untuk dilantik sebagai pensyarah di universiti tersebut pada 15 Ogos 2008.

Berdasarkan pertuduhan itu, tertuduh didakwa dengan curang telah mendorong USM menyerahkan wang berjumlah RM195,081.38 sebagai bayaran perkhidmatannya sebagai pensyarah di universiti tersebut.

Tertuduh yang diwakili peguam M. Athimulan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun atau tidak melebihi 10 tahun dan denda.

Thevanathan turut didakwa secara tidak jujur menggunakan suatu dokumen iaitu ijazah PhD dalam bidang Pendidikan dari Universiti of Maryland, Amerika Syarikat (AS) sebagai asli untuk mendapatkan jawatan berkenaan di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan kedua itu dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Hajar Jaafar yang me­ngendalikan pendakwaan me­ngikut Seksyen 466/471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

Difahamkan, laporan mengenai salah laku itu telah dibuat pada 16 Ogos 2012 oleh pihak pe­ngurusan USM.

Bagaimanapun, tertuduh ha­nya tampil menyerah diri hari ini sebelum dihadapkan terus ke mahkamah.

Umma Devi kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu sebutan kes pada 4 April ini.