Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki turut memerintahkan empat bekas pe­ngarah syarikat itu menjalani hukuman penjara lima tahun dan denda RM1 juta setiap seorang terhadap empat kesalahan tersebut.

Mereka terdiri daripada Chin Wai Leong, 41, Ng Poh Weng, 67, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 65, dan Liew Chee Wah, 63. Jika gagal membayar denda RM1 juta, masing-masing diperintah menjalani hukuman penjara setahun.

Panel itu juga mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga tahun atas 154 tuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan urus niaga bernilai lebih RM200 juta.

Selepas mahkamah menangguhkan sidang kira-kira pukul 4 petang, beberapa ahli keluarga yang hadir mendengar prosiding itu kelihatan mengesat air mata dengan tuala kecil ketika polis mahkamah membawa keempat-empatnya ke lokap mahkamah.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Mohtarudin me­nyatakan, hukuman denda tidak sesuai dikenakan bagi tuduhan pengubahan wang haram kerana kesalahan itu serius dan melibatkan nilai yang besar.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut memerintahkan harta-harta yang dikumpul hasil aktiviti pe­ngubahan wang haram, dirampas.

“Harta yang menjadi perkara dalam pertuduhan disita, manakala notis siaran pewartaan untuk rampasan dikeluarkan bagi prosiding lucut hak di Mahkamah Sesyen,’’ ujar Hakim Mohtarudin yang turut menyatakan panel itu sebulat suara memerintahkan hu­kuman penjara berkuat kuasa secara berasingan.

Ini bermakna mereka menjalani hukuman penjara berjumlah lapan tahun setiap seorang bermula hari ini selepas kuorum berkenaan menolak permohonan pihak pembelaan agar pelaksa­naan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu notis permohonan semakan difailkan Jumaat ini.

Sebelum itu, pasukan peguam bela diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah memohon pelaksanaan hukuman ditangguhkan kerana pihaknya berhasrat menyemak keputusan tersebut.

Keempat-empatnya disabitkan atas 154 tuduhan pengubahan wang haram di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di ibu negara di antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka dan syarikat itu juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di ibu negara di antara November 2008 dan Julai 2009.

Pada 12 Disember tahun lalu, panel yang sama memutuskan keempat-empat bekas pengarah dan juga syarikat pelaburan jongkong emas itu didapati bersalah terhadap tuduhan pengubahan wang haram dan tuduhan me­nerima deposit tanpa lesen sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan mereka.