Majistret Farah Adlini Mohd. Din menjatuhkan hukuman tersebut selepas Jasni Mat Lias, 42, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima berwarna kelabu kira-kira pukul 12.15 tengah malam di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan dia tiada duit untuk membayar denda malah tidak mempunyai keluarga dan rumah di sini.

“Saya seorang gelandangan dan buat demikian untuk cari makan. Saya baru saja bekerja menjaga tempat letak kereta pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Farah Adlini kemudian mempersoalkan tindakan tertuduh itu kerana baginya ada cara lain untuk dia mencari makan dan bukan melakukan kesalahan seperti itu.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon hukuman setimpal dijatuhkan mengambil kira ini merupakan kesalahan kedua tertuduh kerana kesalahan pertamanya pada awal bulan lalu, dia telah dibebaskan.

Mengikut fakta kes, semasa anggota polis berpakaian preman melakukan Op Parkir Haram di kawasan berkenaan telah ternampak tertuduh sedang mengarahkan kenderaan yang lalu lalang untuk meletakkan kenderaan seperti yang diarahkan kemudian dia menghampiri pemandu dan meminta wang daripadanya.

Pemeriksaan ke atas badan tertuduh telah menjumpai sejumlah wang RM11 hasil daripada kegiatan haram tersebut.

- UTUSAN ONLINE