Majistret Mohd. Fitri Sadarudin memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Faizal Yeop Idris, 30, dari Kampung Lambor Kiri dekat sini berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 25 Februari lalu.

Faizal yang berbaju lokap warna ungu dilihat bersahaja ketika hukuman tersebut dijatuhkan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Faizal didakwa telah melakukan khia­nat dengan kata-kata ugutan ‘ada bom, ada bom’ di tempat awam kira-kira pukul 11.15 pagi, 25 Fe­bruari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dia yang diwakili pe­guam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Soraya Hanafi merayu supaya anak guamnya hanya dikenakan denda minimum, selain melahirkan kekesalan dan sudah insaf atas perbuatan yang telah dilakukannya itu.

“Ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh berada di bawah pengaruh dadah. Dia memohon maaf,” kata Hennie Soraya.

Nurul Qistini pula memohon hukuman yang mampu dijadikan pe­ngajaran buat tertuduh yang mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi dan dadah.

“Semasa kejadian, perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) baru berlangsung dan tindakan tertu­duh telah mengejutkan semua pengunjung. Malahan perbuatan juga menyusahkan banyak pihak termasuk memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Bukit Aman dan Pulau Pinang,” katanya.

Mengikut laporan akhbar, da­lam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, orang ramai yang baru sahaja menyaksikan peserta perlumbaan LTdL dari Seri Manjung menuju Cameron Highlands dikejutkan dengan tindakan tertuduh yang memberhentikan kereta je­nis Mercedes-Benz di tengah-tengah jalan.

Tertuduh yang memandu seorang diri itu kemudiannya menjerit dan mengarahkan orang ramai menyelamatkan diri kerana terdapat bom di dalam keretanya.

Tindakan tertuduh terbabit menyebabkan penonton bertempiaran lari manakala Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Bukit Aman dan Pulau Pinang dihubungi bagi menjalankan siasatan terhadap ancaman berkenaan.