Afidavit itu difailkan secara berasingan minggu lepas sebagai menyokong permohonan Jabatan Peguam Negara bagi membantah permohonan jawatankuasa itu untuk menggantung sementara inkues.

Peguam jawatankuasa itu, M. Visvanathan memberitahu pa­nel tiga anggota bahawa beliau menerima afidavit berkenaan pagi ini yang difailkan secara berasingan oleh peguam Kementerian, Syazlin Mansor dan peguam Kamaruzaman A. Wahab.

Beliau memohon mahkamah memberikan masa kepada mereka untuk menfail afidavit balas kerana menurutnya afidavit itu belum pernah berlaku sebelum ini dimana ia difail oleh mereka yang berkepentingan bagi membantah kehadiran pihak yang juga berkepentingan dalam inkues.

Visvanathan berkata, afidavit itu mempersoalkan kedudukan jawatankuasa berkenaan dari segi undang-undang, untuk mengambil bahagian dalam in­kues.

Panel yang terdiri daripada Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan menangguhkan pendengaran dua permohonan yang dijadualkan hari ini.

“Kami menangguhkan ke­dua-­dua usul itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan, untuk didengar bersama dengan de­ngan rayuan. Pihak-pihak yang berkenaan sementara itu dibenarkan menfail sebarang afidavit seterusnya jika perlu,” kata Hakim Umi Kalthum yang mempengerusikan panel.

Ia adalah permohonan oleh jawatankuasa berkenaan untuk menggantung sementara in­kues kematian Muhammad Adib sementara menunggu rayuan (jawatankuasa berkenaan) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Februari lepas yang membenarkan keputusan Mahkamah Koroner mengetepikan permohonan jawatankuasa bertindak itu untuk menjadi pemerhati semasa inkues.

Satu lagi permohonan dibuat oleh Pejabat Peguam Negara yang memohon untuk mengetepikan rayuan jawatan­kuasa itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar membantah permohonan Visvanathan untuk menfail afidavit balas kerana afidavit itu tidak menyebut penglibatan penganut agama Hindu. – BERNAMA