Perkara itu ditentukan hari ini selepas Gant1 menarik balik permohonan mereka tanpa kos bagi mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Gant1 antara lain diwakili oleh 10 individu termasuk Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil; wakil Armada Bersatu, Mahathir Mohd. Rais serta wakil Dapsy, Howard Lee.

Ketetapan tersebut dicapai pada sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Intan Syafinaz Roslin di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman.

Peguam Nur Dalila Husna Azmi hadir mewakili Gant1; Nik Alia Hanafi bagi pihak bekas Perdana Menteri; Peguam Persekutuan Saiful Nizam Shahrin bagi pihak Kerajaan Malaysia manakala Wong Tee Jie bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media melalui aplikasi WhatsApp berkata, kebenaran merayu itu ditarik balik kerana siasatan sedang dijalankan berhubung skandal syarikat pelaburan itu dan isu berkaitan IPIC.

Beliau yang mewakili Gant1 berkata, ahli lembaga pengarah 1MDB telah mengumumkan hasrat untuk mengambil tindakan yang perlu berkaitan penghakiman persetujuan arbitrasi IPIC-1MDB untuk kepentingan rakyat.

Justeru katanya, Gant1 meletak sepenuh kepercayaan kepada pihak penguat kuasa dan lembaga pengarah 1MDB yang baharu untuk meneruskan tindakan yang sewajarnya berkaitan isu berkenaan.

Pada 26 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan, Najib dan dua pihak lagi tidak boleh disaman berhubung isu pembayaran pinjaman jaminan bon berjumlah RM14 bilion (AS$3.5 bilion) kepada IPIC.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmadi Asnawi ketika membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri, 1MDB dan Kerajaan Malaysia berpendapat, Gant1 tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang (locus standi) untuk memfailkan saman terhadap ketiga-tiganya.

Mahkamah Rayuan berpuas hati, Gant1 bukan pihak yang dinamakan dalam tuntutan arbitrasi melibatkan 1MDB dan IPIC yang didengar di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London.

Pada 11 Julai tahun lalu, 10 individu tersebut memfailkan saman terhadap ketiga-tiganya bagi memaksa kerajaan membuat pengisytiharan serta mendedahkan akaun yang digunakan bagi membayar IPIC.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif mendakwa 1MDB telah mendapat bantuan bon sebanyak RM14 bilion (AS$3.5 bilion) untuk pembelian loji tenaga daripada IPIC dan Aabar Asli.