Hakim Datuk Kamaludin Md. Said memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Hakim Kamaludin dalam penghakimannya berkata, mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar sebarang pertikaian melibatkan hal parti politik dengan mengguna pakai peruntukan di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

“Peruntukan itu menyatakan, sebarang keputusan atau perkara berkaitan perjalanan parti, termasuk menangguhkan pemilihan parti tidak boleh dibawa ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, perhatian harus diberikan kepada niat Parlimen dalam mewartakan Seksyen 18C tidak hanya berhenti setakat frasa ‘keputusan parti politik terhadap sebarang perkara berhubung hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dibicarakan di mana-mana mahkamah’.

Hal ini kerana, menurut hakim tersebut, seksyen itu seterusnya menyatakan walaupun atas sebarang alasan, tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan sesuatu kes saman, permohonan, persoalan atau prosiding berhubung keputusan parti politik.

“Ayat ini jelas menunjukkan hasrat Parlimen untuk mengeluarkan bidang kuasa mahkamah bagi mendengar kes-kes seumpama itu,” katanya.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili semua pemohon memberitahu, pihaknya telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan berkenaan.

Dalam permohonan secara se­belah pihak yang difailkan pada 20 April lalu, semua individu itu memohon beberapa perintah mahkamah dan perisytiharan berhubung kedudukan dan status UMNO berikutan parti itu didakwa melanggar perlembagaan parti termasuk menunda pemilihan parti melebihi tempoh maksimum 18 bulan seperti diperuntukkan dalam perlembagaannya.

Dalam permohonan itu, mereka menamakan ROS dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusoh dalam kapasiti sebagai pegawai awam dalam parti, sebagai res­ponden pertama dan kedua.

Semua pemohon antaranya, memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan ROS yang memberikan lanjutan masa kepada UMNO untuk mengadakan pemilihan sehingga 19 April 2019.

Ini kerana pemilihan bagi semua peringkat iaitu Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditunda sebanyak dua kali iaitu melebih tempoh maksimum 18 bulan seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.