Hakim Manira Mohd. Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap pengarah syarikat, Kong Kim Weng, 45, selaku orang kena saman (OKS) setelah mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa dilakukan di Jalan Dutamas 1 di sini kira-kira pukul 11.36 pagi, 6 Jun 2012.

Kim Weng didakwa sebagai pemilik lori kecil jenis Nissan bernombor pendaftaran WPM 8432 yang dipandu oleh pekerjanya, Yap Wei Loong, 47, didapati telah melepaskan pencemar gas karbon monoksida (CO) dengan kepekatan sebanyak 6.91 peratus melebihi standard yang dibenarkan iaitu 4.5 peratus daripada paip ekzos kenderaan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan tanpa sebarang lesen di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan daripada Enjin Petrol) 1996.

Bapa empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 22(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dibaca bersama Seksyen 43(2) akta sama serta boleh dihukum di bawah Seksyen 22(3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian pemandu lori berkenaan telah ditahan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ujian pelepasan bahan pencemar yang dilakukan mendapati bahan pencemar daripada ekzos lori itu telah melebihi standard dibenarkan.

Semakan rekod jabatan mendapati, OKS tidak mempunyai sebarang lesen daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk melepaskan bahan pencemar melebihi standard itu.

Terdahulu, Kim Weng yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menanggung isteri dan anak-anaknya yang masih bersekolah malah dia kini hanya bekerja sendiri.

“Saya telah menjual lori berkenaan malah ketika kejadian pemandu tidak memaklumkan kepada saya berkenaan kompaun ini dan saya tidak menerima sebarang notis peringatan,” katanya.

Pegawai Pendakwa dari JAS Wilayah Persekutuan, Dina Abdul Samad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran supaya OKS dapat memastikan kenderaan sentiasa diservis mengikut jadual bukan hanya mengaut keuntungan perniagaan dan mengambil kira kualiti udara akan merosot jika ia tidak dibendung secara serius.

“Lebih-lebih lagi bilangan kenderaan yang masuk ke bandaraya semakin bertambah setiap hari malah kesan pencemaran udara boleh mengganggu sistem pernafasan dan pertumbuhan akan terbantut serta boleh mengganggu keseimbangan ekosistem,” katanya. - UTUSAN ONLINE