Tertuduh, Ahmad Mohamad Noor, 44; Muhamad Isamrudin Dollah, 34; Shahrizan Mohd. Sham, 36; Haire Dollah, 40; Ahmad Kamaruddin Mohamad Noor, 41; dan Mohd Hapis Sukri Dollah, 36, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan tujuan bersama mendatangkan kecederaan ke atas pemandu bas, Mohd. Saifullakmal Abdul Rasid, 32, pada 1.30 pagi 24 Disember lalu di kawasan parkir R&R Gambang arah barat di sini.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, dalam prosiding sama, Mohd. Saifullakmal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memukul dua pekerja di gerai di R&R Gambang, arah timur.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan Mohamad Irwan Shah Azman, 17, dengan cara memukul belakang leher mangsa pada 1.30 pagi, Isnin lalu, di R&R Gambang, arah timur.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa dengan sengaja mencederakan Shahril Helmi Mohd. Radzuan, 17, dengan mencekik mangsa pada masa dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga setahun atau didenda hingga RM2,000 atau keduanya sekali.

Nurunaim kemudian menetapkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan 14 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE