Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas Yasbadrul Haniff Yahaya dan Mohammad Zakaria Mohd. Razali, kedua-duanya berusia 20 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan itu di luar pondok pengawal keselamatan, Apartmen Mentari Court, Jalan PJS 8/9, Sungai Way di sini kira-kira pukul 3.30 pagi, 4 Mac lalu.


Sementara seorang lagi tertuduh, Mohd. Syahar Jamalludin, 33, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya.

Salamiah membenarkan Mohd. Syahar diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April ini untuk serahan dokumen.


Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Yasbadrul dan Mohammad Zakaria telah pergi ke pondok pengawal keselamatan dan telah berlaku salah faham antara mereka dengan Mohd. Syahar yang sedang bertugas.


Kesemua mereka yang tidak berpuas hati telah menampar dan bergaduh sebelum salah seorang rakan pengawal tersebut meleraikan pergaduhan itu.