Duri yang menyalut tubuhnya adalah untuk mempertahankan diri, dan mungkin turut menjauhkan daripada tarikan manusia, namun Mohammad Fauzan Mansor, 35, menunjukkan minat yang mendalam untuk memiliki haiwan ini.

Fauzan, pembekal ikan air tawar di daerah ini membelanya sebagai hobi sejak tiga tahun lalu bagi menyempurnakan keinginan sejak kecil di samping mula  terarah kepada usaha menjana pendapatan sampingan.

"Tak tau nak cerita bagaimana saya boleh terfikir untuk membela landak ini. Bagi saya haiwan ini  cukup unik, mudah diuruskan, jinak dan manja walaupun dianggap spesies liar,' ujar bapa kepada dua orang anak yang menetap di Kampung Tanggol, dekat sini.

Fauzan membeli induk serta baka landak sebanyak tujuh ekor secara berperingkat daripada penternak individu yang berada di Banting, Kedah dengan harga RM 4,000 kerana penternak tersebut sudah tidak berminat mengusahakannya.

Dia yang kini mempunyai  66 ekor landak raya memberitahu untuk memeliharanya dia mendapatkan lesen daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana ia haiwan yang dilindungi.

"Saya menghabiskan hampir RM10,000 bagi membina kandang dengan menggunakan peruntukan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk ternakan ini,"katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Fauzan, dia mempelajari selok-belok penjagaan landak melalui internet, bacaan dan bantuan Jabatan Perhilitan Hutan di samping bertanyakan kepada penternak landak yang berjaya untuk mendapatkan tips penjagaan.

Jelas Fauzan, landak mempunyai peminat tersendiri sama ada untuk dijadikan bahan makanan atau peliharaan malah dia sering kali dihubungi terutama oleh peminat tegar haiwan ini untuk dagingnya yang dikatakan berkhasiat.

"Belum terfikir nak jual lagi kerana ada syarat termasuk had umur yang membolehkannya dijual..ramai yang telefon dan datang menawarkan harga yang tinggi tapi biarlah dulu sebab sayang. Mungkin dalam tempoh dua tahun lagi.

"Landak ni boleh dijual jika umurnya lapan bulan keatas dengan harga dagingnya mencapai RM120 untuk satu kilogram manakala induknya boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada saiz dan umur.

"Seekor landak seberat 15 hingga 20 kilogram bersama induknya boleh dijual dengan harga RM3,500 hingga RM5,000 bergantung dengan harga pasaran semasa," ujarnya lagi.-UTUSAN ONLINE