Farid Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, dibawa masuk ke mahkamah kira-kira pukul 11.24 pagi oleh anggota polis dengan ditemani peguam dan isterinya, Datin Diana Da­nielle, 27, serta dua adik lelaki pelakon itu Fadzil Bahari yang merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi, Yana Samsudin dan Anis Anwar.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, pelakon filem Lagenda Budak Setan dan Tombiruo itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kece­deraan kepada seorang eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Sek­syen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ketiga, Farid Kamil didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Muhammad Nizam dengan niat menghalang penjawat awam itu menjalankan tugasnya, manakala pertuduhan keempat, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh di dalam balai polis dengan mengeluarkan perkataan-perkataan kurang sopan sehingga boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan kepada Muhammad Nizam.

Pertuduhan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan keempat, pengarah filem V3: Samseng Jalanan yang baru menerima gelaran Datuk pada Disember lalu didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Keempat-empat pertuduhan itu didakwa dilakukan oleh pelakon berasal dari Alor Setar, Kedah itu di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini kira-kira pukul 1.20 petang, 11 Janu­a­ri lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun peguam, Athari Bahardin yang mewa­kili Farid Kamil memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri, dua anak dan ibu bapa di kampung.

Majistret Nor Ariffin Hi­sham kemudian membenarkan artis itu diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 5 Mac ini untuk se­butan semula kes.

Farid Kamil yang merupakan anak kepada seorang profesor di sebuah universiti awam itu dibebaskan setelah adiknya membayar wang jaminan tersebut kira-kira pukul 3 petang dan mereka beredar dari perkarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

Dalam pada itu, difahamkan Farid Kamil dibebaskan dengan jaminan polis bagi kes narkotik sementara menunggu laporan patologi berhubung keputusan ujian saringan air kencingnya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).