Perkara itu dimaklumkan peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid Kamil, 37, pada hari pertama perbicaraan lima kes tersebut di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Menurut Megat Syazslee, representasi itu telah dihantar pada 23 November lalu kepada Jabatan Peguam Negara dan beliau memohon untuk penangguhan perbicaraan sehingga keputusan mengenai representasi itu diterima.

“Sekiranya representasi berjaya, anak guam saya ingin mengaku bersalah dan ini sekali gus dapat mengurangkan kos dan masa mahkamah. Malah kami percaya penangguhan hari ini tidak akan melambatkan atau menambah tarikh bicara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran yang mengendalikan pendakwaan mengesahkan telah menerima representasi tersebut pada lewat petang Jumaat lalu.

“Pihak kami masih belum sempat meneliti keseluruhan dokumen tersebut namun bagi perbicaraan pada hari ini, empat saksi hadir untuk memberi keterangan, oleh itu saya serahkan kepada budi bicara mahkamah sekiranya perbicaraan ingin ditangguhkan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kepada 6, 12, 13 dan 14 Disember ini.

Pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis tetra hydrocannabinol atau THC.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan membuat keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis.