Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib memaklumkan demikian selepas pegawai penyiasat, Penguasa Kanan Norsyazwani Mohd. Nasir selesai memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Pihak pendakwaan turut memberitahu mahkamah, sebanyak 19 individu daripada senarai saksi pendakwaan ditawarkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Allaudeen Ismail kemudian menetapkan 15 Mac ini untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Ahmad Akram berhubung siasatan rekod panggilan saksi pendakwaan kesembilan, Hassan Mohammed Alley, 43, tentang pengeluaran Adam Rosly daripada menerajui Gegas Mentari Holding Sdn. Bhd., Norsyazwani berkata, tiada siasatan dilakukan.

“Bagaimanapun semasa rakaman percakapan yang dilakukan terhadap Hassan (penyuntik dana dalam syarikat Gegas Mentari) pada 18 April 2017, dia (Hassan) memberitahu telah menghubungi Adam Rosly berhubung pengeluarannya daripada jawatan pengarah syarikat.

“Saya ada merujuk perkara (siasatan rekod panggilan) kepada ketua cawangan SPRM, bagaimanapun beliau memaklumkan maklumat itu hanya disimpan oleh syarikat telekomunikasi selama tiga bulan bagi nombor pasca bayar dan sebulan untuk prabayar,” katanya.

Saksi pendakwaan ke 11 itu berkata, berdasarkan maklumat daripada Hassan, sudah terbukti beliau (Adam Rosly) bukanlah pengarah Gegas Mentari ketika rakaman percakapan pada 10 Februari 2017 dibuat.

Adam Rosly, 31, yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Datuk Sulaiman Ismail dibi­carakan selepas me­ngaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi pernya­taan palsu dan empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM, Februari tahun lalu.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, Blok D6, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya, antara pukul 9 pagi dan 12.15 tengah hari, 10 Februari 2017 serta antara pukul 9 pagi dan 2 petang, 22 Februari tahun sama.

Pertuduhan memberi pernyataan palsu dikemukakan mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pence­gahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 manakala pertuduhan mengemukakan dokumen palsu mengikut Seksyen 89 akta sama yang masing-masing membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Habis