Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Radzi Harun bagaimanapun menggantikan hukuman RM10,000 terhadap Mohd. Fahmi Reza, 40, serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pada 20 Februari lalu, Hakim Norashima Khalid di Mahkamah Sesyen di sini memutuskan Mohd. Fahmi Reza dihukum penjara sebulan dan denda RM30,000 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah dalam kes berkenaan yang telah melalui perbicaraan penuh bermula 10 Jun 2016.

Mengikut pertuduhan, Mohd.Fahmi Reza didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Facebook ‘Fahmi Reza’ di pautan https://www.facebook.com/photo.php?fbid, secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu yang didakwa dilakukan oleh tertuduh kira-kira pukul 12.31 tengah hari pada 8 Februari 2016, telah dibaca di alamat Seraya Sdn. Bhd., Batu 3, Jalan Jelapang pada pukul 2.40 petang, hari sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria sementara tertuduh diwakili peguam Syahredzan Johan. - UTUSAN ONLINE