Hakim Zamri Bakar memutuskan demikian terhadap Mohd. Fahmi Reza Mohd. Zarin, 41, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd. Yushaa memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes dan menarik balik pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Noor Jazilah turut memaklumkan pihak pembelaan menerusi peguam, Syahredzan Johan telah menghantar dua surat representasi ke Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan terhadap Mohd. Fahmi Reza pada 12 Jun dan 17 Julai lalu dan Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi itu untuk menggugurkan pertuduhan tersebut.

Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan Mohd. Fahmi Reza daripada pertuduhan itu.

Noor Jazilah telah mengemukakan tiga saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula pada Jun lalu.

Pada 6 Jun 2016, Mohd. Fahmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pada 31 Januari 2016, menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Instagram ‘kuasasiswa’ di pautan https://www.instagram.com/p/BBMkpBEAacL/ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang telah dibaca di No. 35, Jalan BP 10/10, Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, Selangor kira-kira pukul 6 petang, 1 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE