Perintah berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Ameera Mastura Khamis kira - kira pukul 12.25 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Ramkarpal Singh yang mewakili Boon Poh memohon perintah reman berkenaan ditangguhkan dan meminta supaya ia dikeluarkan oleh Majistret pada petang ini.

Terdahulu, Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu tiba dengan dengan kereta pacuan empat roda Toyota Prado pada pukul 10.10 pagi dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga dan disambut lebih 30 orang penyokongnya.

Turut direman ialah dua beranak iaitu seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik kilang berkenaan serta anaknya berusia 37 tahun.

Semalam, Boon Poh ditahan kira - kira pukul 2.45 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah. - UTUSAN ONLINE